Ahad, 4 Disember 2011

Risalah Syaikh Abdul Mohksin al-Abbad: Antara Musibah Syeikh Al-Qardhawi Adalah Seruannya Ke Arah Meruntuhkan Akhlak Wanita di Negara Dua Tanah Suci

               Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang



Antara Musibah Syeikh Al-Qardhawi Adalah Seruannya Ke Arah
Meruntuhkan Akhlak Wanita di Negara Dua Tanah Suci
Terjemahan: Abu Omar, Idris bin Sulaiman

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat Allah, SalamNya dan BerkatNya ke atas hamba dan RasulNya, Nabi kita Muhammad, keluarganya dan para Sahabatnya.

Saya telah membaca surat Syeikh Yusof Al-Qardhawi kepada Khadam Dua Masjid Suci Raja Abdullah bin Abdul Aziz – semoga Allah menjaganya serta memberinya petunjuk kepada apa yang diredaiNya – tentang keanggotaan wanita dalam Majlis Al-Syura serta pencalonan dan penyertaan mereka dalam keanggotaan majlis-majlis perbandaran yang telah disiarkan di laman-laman web. Komen saya terhadap kandungan surat ini adalah seperti berikut:

1.    Beliau berkata dalam suratnya, “Wajah-wajah orang Islam telah tersenyum, hati-hati mereka yang beriman telah terbuka dan kami di samping ramai yang lain telah gembira dengan ucapan Tuanku yang bijaksana serta pandangan Tuanku yang tepat untuk membenarkan wanita dicalonkan di semua majlis-majlis perbandaran, daerah dan Majlis Al-Syura.”

Saya tegaskan bahawa mereka yang sebenarnya tersenyum gembira adalah orang-orang Barat dan pengikut-pengikut mereka. Mereka ini telah mendahului            Syeikh Al-Qardhawi dalam mengalu-alukan keputusan ini seperti mana yang telah dilaporkan oleh pihak media. Adapun majoriti masyarakat Arab Saudi yang komited untuk menjaga kehormatan wanita, yang ingin melihat agar kaum wanita mereka terus terjaga maruahnya serta dijauhkan daripada semua sebab yang boleh membawa kepada fitnah sama ada terhadap kaum wanita itu sendiri atau kaum lelaki, mereka telah berdukacita terhadap keputusan ini.

2.    Setelah itu beliau berkata lagi,
“Di samping apa yang kami dengar pada                19 Ramadan di Mekkah Al-Mukarramah tentang projek-projek meluaskan kedua Masjid Tanah Suci dan projek-projek mega yang lain.”

Saya katakan, apa yang mendukacitakan adalah; projek-projek pembaharuan ini yang tentunya telah menggembirakan semua orang Islam, telah disebut kemudian dalam surat Syeikh Al-Qardhawi ini dan bukan di permulannya. Ini menyebabkannya menjadi  perkara sampingan sahaja dan bukan perkara pokok dalam surat ini.

Walhal, banyak pembaharuan-pembaharuan lain telahpun dilakukan oleh Khadam Dua Masjid Suci sejak beberapa tahun yang lepas. Antara yang paling penting adalah pembukaan universiti-universiti di semua wilayah Negara dan di beberapa bandarnya untuk memudahkan para pelajarnya melanjutkan pelajaran mereka tanpa perlu bermusafir. Malangnya, Syeikh Al-Qardhawi tidakpun menyebutkan tentang pembaharuan-pembaharuan ini.

3. Katanya, “Dengan saya mengutuskan ucapan tahniahku ini di samping merakamkan perasaan gembira dan penghargaan saya terhadap keputusan-keputusan Tuanku, saya memohon daripada Allah agar negara Tuanku menjadi sebaik-baik negara dan Tuanku menjadi sebaik-baik hambaNya di samping agar dibenarkan wanita di negara Tuanku memandu kereta serta memilikinya mengikut lunas-lunas Syariat sepertimana di negara-negara Islam yang lain.”

Saya katakan, beliau merakamkan kegembiraannya sepertimana kegembiraan orang-orang lain secara amnya yang beliau nyatakan dalam perenggan pertama. Adapun saya, demi Allah yang Maha Mengetahui, saya telah merasa terkejut apabila mendengar berita ini dan merasa teramat sedih. Saya telah memohon agar Allah menjaga Negara Dua Tanah Suci ini – Kerajaan dan Rakyatnya – daripada segala keburukan serta diberikan petunjukNya kepada semua kebaikan. Lebih memburukkan, beliau menyatakan harapannya agar wanita dapat memandu kereta di negara ini sejajar dengan Syariat sepertimana di negara-negara Islam yang lain.

Adakah Syeikh Al-Qardhawi mahu agar wanita di Mekkah, Madinah dan tempat-tempat lain di Negara Dua Tanah Suci menjadi seperti wanita di negara-negara lain?

Beliau tahu bahawa wanita Mesir yang pertama membuka penutup wajahnya adalah Huda Sya’rawi pada kurun yang lepas. Barangkali beliau juga tahu bahawa wanita yang pertama sekali membuka penutup wajahnya di Syria adalah seorang penolong pengetua sekolah menengah, juga pada kurun yang lepas.

Perkara ini diceritakan oleh Syeikh Ali Al-Tantawi rahimahullah dalam bukunya ‘Zikrayaati’ (5/226). Setelah berpuluh-puluh tahun berlalu, kita dapati wanita di Mesir dan Syria kini hidup dalam zaman jahiliah yang baru di mana mereka telahpun keluar daripada rumah mereka dalam keadaan memperagakan kecantikan dan perhiasan mereka. Keadaan ini jauh lebih teruk daripada keadaan pada zaman jahiliah dahulu yang mana Allah telah berfirman, “Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliah yang dahulu” (Al-Ahzaab, 33).

Adapun lunas-lunas Syariat yang disebutkan oleh Syeikh Al-Qardhawi dan yang sering disebut-sebut oleh pengikut-pengikut Barat, ia tidak akan menjadi lebih daripada dakwat di atas kertas tatkala kebebasan dan keruntuhan akhlak itu berleluasa.

4.    Katanya, “Sesungguhnya apa yang haram adalah yang diharamkan oleh Allah dalam KitabNya atau yang dinyatakan oleh NabiNya dalam nas yang jelas. Apa yang halal pun begitu. Dan hukum asal bagi perkara-perkara dunia adalah halal selagi tidak ada nas yang jelas mengharamkannya.”

Saya katakan, umum mengetahui bahawa Syariat Allah telah sempurna. Ia meliputi semua yang diperlukan oleh manusia. Hal ini sejajar dengan keumuman nas-nas Syarak dan kaedah-kaedahnya.

Dalam Sahih Bukhari (Hadis no. 5598) Abu Al-Juwairiyah berkata: Aku bertanya Ibnu Abbas tentang Al-Baziq. Dia menjawab: Muhammad sallalahu alaihi wasallam telahpun menyebutkan bahawa apa yang memabukkan adalah haram. Kata Abu Al-Juwairiyah, “Bagaimana dengan minuman halal yang baik? Jawab Ibnu Abbas: Tidak ada sesudah yang halal lagi baik melainkan yang haram lagi buruk.

Al-Baziq adalah sejenis minuman yang tidak ada pada zaman Rasulullah sallalahu alaihi wasallam. Tetapi apa yang disebut oleh Rasulullah sallalahu alaihi wasallam merangkuminya sebagaimana dalam sabda Baginda, “Apa yang memabukkan adalah haram.” Keumuman Hadis ini menunjukkan bahawa semua yang memabukkan pada zaman Baginda sallalahu alaihi wasallam ataupun yang wujud sesudah zaman Baginda – sama ada yang cecair mahupun yang pepejal – adalah haram. Adapun yang tidak memabukkan maka ia kekal halal.       

Antara kaedah-kaedah Syarak yang umum mengetahuinya adalah kaedah: Menutup Segala Pintu yang Membawa kepada yang Haram. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah telah menyenaraikan dalam kitabnya ‘Bayan Al-Dalil ‘Ala Butlaan Al-Tahliil’ (hlm. 283) 30 dalil yang menyokong kaedah ini.

Ibnu Al-Qayyim pula dalam kitabnya ‘I’laam Al-Muwaqqa’in’ (3/149-171) telah menyebutnya sampai 99 dalil. Antaranya, beliau menyebut:

“Dalil Kesebelas: Rasulullah sallalahu alaihi wasallam telah mengharamkan bagi lelaki dan perempuan yang bukan mahram untuk berdua-duaan walaupun untuk membaca Al-Quran atau bermusafir untuk mengerjakan haji atau menziarahi kedua orang tua demi untuk menutup pintu fitnah dan syahwat. Dalil Kedua Belas: Allah memerintahkan supaya menjaga pandangan mata walaupun untuk melihat kecantikan ciptaan Allah serta bertafakur dalam melihat ciptaan Allah. Ini bagi menutup pintu syahwat yang akan mendorong kepada apa yang haram."

Kata Ibnu Al-Qayyim lagi:

"Dalil Kelima Puluh Tujuh: Syarak melarang wanita yang keluar ke masjid untuk memakai wangi-wangian bagi mengelakkan kaum lelaki daripada tertarik kepada mereka. Ini kerana wangi-wangian, perhiasan dan kecantikan wanita yang diperagakan menjadi daya penarik buat mereka. Maka Syarak menyuruh supaya mereka keluar dalam keadaan tidak berhias dan tidak memakai wangi-wangian. Di samping itu mereka hendaklah berdiri di belakang kaum lelaki dan tidak bertasbih dalam solat sekiranya imam tersalah. Cukup untuk mereka menepuk dengan telapak tangan mereka. Semua ini adalah untuk menutup pintu-pintu kemungkaran serta mengelak daripada kerosakan."

Saya telahpun menulis satu risalah yang bertajuk "Menutup Pintu-Pintu yang Membawa Kepada Perkara-Perkara Haram serta Menumpaskan Hawa Nafsu Mereka yang Ingin Meruntuhkan Akhlak Wanita kerana Menurut Syahwat Mereka" yang disiarkan pada 14.11.1431H.

Sesungguhnya membenarkan wanita memandu kereta akan membuka ruang kepada mereka untuk memandunya pada bila-bila masa; siang dan malam, bertemu dan bergaul dengan sesiapa sahaja yang mereka mahu, bermusafir tanpa mahram dan keburukan-keburukan yang lain.

Untuk menjelaskan perkara ini saya telah menulis satu risalah yang bertajuk "Kenapa Wanita Tidak Memandu Kereta di Arab Saudi?!" Dalam risalah ini saya telah sisipkan kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan dan fatwa kedua Syeikh yang agong Abdul Aziz bin Baz dan Muhammad bin Uthaimin rahimahumallah yang melarang wanita memandu.

Kedua mereka adalah antara Ulama Rabbaniyyin yang hati kita merasa yakin untuk menerima fatwa mereka. Fatwa mereka lebih patut diterima berbanding dengan kata-kata Al-Qardhawi dan yang seangkatan dengannya. Dalam perkara ini juga saya telah menulis satu risalah bertajuk "Gejala Wanita Memandu Kereta akan Membawa Kepada Keruntuhan Akhlaknya" yang disiarkan pada 08.07.1430H.

5.    Memandangkan surat Syeikh Al-Qardhawi telah mendapat sambutan di Dewan DiRaja (Arab Saudi – pent), maka sanggahan terhadapnya terpaksa disiarkan dengan segara dan ia telahpun disiarkan di laman-laman web.

Adapun kelapan-lapan risalahku yang telah diutuskan kepada Khadam Dua Masjid Suci – semoga Allah memelihara Tuanku – berkenaan keruntuhan akhlak wanita yang mana saya telah mengisyaratkan kepadanya dalam risalahku ‘Petunjuk Allah Adalah Petunjuk yang Sebenarnya, Maka Tidaklah Sesudah yang Hak Melainkan Kebatilan Wahai Pengikut Barat’ pada 19.12.1432H, saya tidak mengetahui apa kesudahannya dan apa tindakan yang telah diambil terhadapnya di Dewan DiRaja. Hanya kepada Allah kita berserah dan kepadanya kita mengadu.

6.    Syeikh Al-Qardhawi terdiri daripada kalangan ulama Ikhwan Muslimin yang mana pengasasnya Syeikh Hasan Al-Banna rahimahullah dalam kenyataannya kepada pengikutnya telah berkata, “Manusia lebih patut untuk menyertai dakwah kamu dan bukan kamu menyertai mereka..… ini kerana ia telah menghimpunkan segala kebaikan manakala selain daripadanya tidak akan terselamat daripada kekurangan” (Muzakkirat Al-Dakwah Wa Al-Da’iyah, hlm. 232, cetakan Dar Al-Syihab).

Kata Al-Banna lagi, “Kedudukan kami terhadap (kumpulan) dakwah-dakwah lain yang berbeza pada zaman sekarang - yang telah memecah-belahkan hati (umat) dan mengelirukan fikiran (umat) - adalah dengan kami membandingkan dakwah mereka dengan dakwah kami. Apa yang sama kami alu-alukan dan apa yang berbeza kami berlepas diri daripadanya. Kami percaya bahawa dakwah kami merangkumi segala-galanya. Tiada apa jua bahagian baik pada dakwah-dakwah lain melainkan dakwah kami telah merangkuminya atau memberi isyarat kepadanya” (Majmu’at Rasaa’il Hasan Al-Banna, hlm. 240, cetakan Dar Al-Dakwah, tahun 1411H).

Berdasarkan kata-kata pengasas Ikhwan Muslimin ini yang telah berlepas diri daripada semua dakwah lain yang berbeza dengannya, maka tidak ada persamaan antara dakwah Ikhwan Muslimin dan dakwah Salafi yang menjadi tunjang kepada tertegaknya negara Arab Saudi berpandukan Al-Quran dan Sunnah sejajar dengan pemahaman Salaf Al-Soleh.

Walaupun tumpuan Ikhwan Muslimin adalah untuk mencapai tampok pemerintahan, tetapi sehingga kini matlamat mereka belum tercapai. Berbeza dengan negara Arab Saudi yang telah diasaskan oleh Imam Muhammad bin Saud dengan bantuan Imam Muhammad bin Abdul Wahab rahimahumallah sejak hampir tiga ratus tahun dahulu.

Sungguh, apa yang tidak bermanfaat akan kering dan hilang manakala apa yang bermanfaat buat manusia akan terus kekal. Adapun dakwah Ikhwan Muslimin, setakat yang saya tahu mereka tidak mempedulikan golongan yang menyembah kubur, berdoa kepadanya, meminta hajat dan bantuan daripadanya. Begitu juga dengan Jemaah Tabligh, cuma mereka tidak mengajak kepada keruntuhan akhlak wanita.

7.    Demonstrasi-demonstrasi yang berlaku di sesetengah negara Arab pada tahun ini telah menggembirakan jemaah Ikhwan Muslimin di mana majlis fatwa mereka di Mesir telah menyatakan sokongannya dalam satu fatwa yang dikeluarkan. Syeikh Al-Qardhawi termasuk di kalangan mereka yang menyokong fatwa ini. Fatwa mereka ini telahpun disanggah oleh Dr. Abdul Aziz Al-Saeed dalam kitab beliau ‘Al-Naqd ‘Ala Mujawwizi Al-Mudhaharaat wa Al-I’itisamaat’.

Walaubagaimanapun, ketika berlakunya demonstrasi-demonstrasi ini, pengikut-pengikut Barat di Arab Saudi telah mengatur rancangan jahat mereka. Mereka telah menulis risalah-risalah mereka yang melaungkan agar langkah-langkah penambahbaikan yang sesuai dengan hawa nafsu mereka diambil di Negara Dua Tanah Suci ini.

Antaranya, mereka meminta agar perlembagaan negara ditukar menjadi mirip perlembagaan negara British! Terdapat juga mereka yang mengajak kepada keruntuhan akhlak wanita. Antara tulisan mereka adalah sebuah warkah buat Khadam Dua Masjid Suci yang bertajuk ‘Ke Arah Sebuah Negara yang Menjaga Hak-Hak Rakyatnya’. Antara mereka yang menandatangani warkah ini adalah sahabat Syeikh Al-Qardhawi di Persatuan Ulama Islam Antarabangsa – kononnya. Beliau juga pemilik laman web Islam today.

Saya melihat bahawa Syeikh Al-Qardhawi lebih patut menyatakan sokongan beliau dalam hal ini daripada menulis tentang hal-ehwal wanita. Saya telah menulis dua rencana tentang perkara ini yang bertajuk ‘Bahaya Melakukan Kerosakan di Bumi Dua Tanah Suci’ dan ‘Antara Mereka yang Paling Banyak Melakukan Kerosakan di Bumi Dua Tanah Suci Adalah Turiki Al-Hamad’ yang disiarkan pada                                  3 dan 4 Rabiul Thani 1432H.

Saya juga telah menulis sebuah rencana yang bertajuk ‘Peristiwa-Peristiwa Mutakhir Ini Telah Menjadi Petunjuk Kepada Pemerintah Negara Dua Tanah Suci Untuk Membezakan Antara Penasihat dan Pendusta, Sahabat dan Lawan’ yang disiarkan pada 30.06.1432H

Akhir kata, saya menasihati Syeikh Al-Qardhawi agar bertakwa kepada Allah terhadap dirinya dan juga orang lain yang mengikuti beliau. Hendaklah beliau berusaha ke arah menjaga akhlak kaum wanita dan mengelak daripada mengeluarkan fatwa atau kata-kata yang boleh membawa mudarat kepada orang lain. Akhirnya mudarat itu akan kembali kepada beliau juga di dunia dan akhirat.

Saya memohon agar Allah subhanahu wata’ala memberikan petunjukNya kepada kita, beliau dan seluruh penuntut ilmu dalam memperoleh ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh. Semoga Allah memelihara kita daripada ilmu yang tidak bermanfaat yang akan menjadi hujjah ke atas tuannya.

Saya juga memohon agar Allah memberikan petunjukNya kepada negara ini dan semua negara Islam yang lain dalam mengecapi segala kebaikan dan menghindari segala kejahatan. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar yang Memperkenankan Doa HambaNya.     

وصلى الله وسلم وبارك على عبد ه ورسوله نبينا محمد وعلى آله وصحبه .

ABDUL MOHSIN BIN HAMAD AL-ABBAD AL-BADAR
(Ulama Besar Madinah Al-Nabawiyyah,
Pengajar di Masjid Al-Nabawi dan
Bekas Rector Universiti Islam Madinah, Arab Saudi - Pent)

27.12.1432H / 23.11.2011          

Tiada ulasan:

Catat Ulasan